INFO


Sejarah tidak boleh menolak, peranan A.L Birch, seorang jurutera British yang membawa set radio pertama ke Malaya pada tahun 1921. Dengan kemasukan radio tersebut, maka tertubuhlah Persatuan Wireless Johor pada tahun 1923, yang memulakan siaran melalui gelombang 300 meter. Pada tahun 1925, Persatuan yang sama juga ditubuhkan di Pulau Pinang. Diikuti pula dengan penubuhan Persatuan Wireless Tanah Melayu di Kuala lumpur pada tahun 1928. Persatuan Wireless Pulau Pinang telah berjaya mendapat lesen yang juga merupakan lessen pertama dikeluarkan di Malaya pada 24 Ogos 1934 atas nama seorang ahli persatuan bernama Khoo Sian Ewe.

Penubuhan Jabatan Siaran Radio di Singapura pada 1 April 1946, secara rasmi menjadi tarikh keramat bermulanya sejarah radio di Malaya. Perkembangan dan keberkesanan Radio Malaya turut mempengaruhi Sabah & Sarawak. Ini kerana pada tahun 1952, telah menyaksi bidang penyiaran secara percubaan bermula di Borneo Utara. Pelancaran Rasmi Radio Sarawak pada tahun 1954 & Radio Sabah pada tahun berikutnya telah membawa era baru kepada rakyat Sabah & Sarawak.

Siaran langsung penurunan The Union Jack & pengisytiharan kemerdekaan yang disiarkan secara langsung oleh Radio Malaya adalah bahan sejarah yang amat penting yang telah dilaksanakan oleh Radio Malaya.

Satu demi satu peristiwa bersejarah Radio Malaya, dibawa kepada pendengarnya. Nyata Radio Malaya adalah amat penting ketika itu untuk menjadi mata, telinga dan mulut rakyat bagi menyatakan matlamat dan arah tuju pentadbiran kerajaan. Selain daripada berperanan untuk menyebar berita, Radio Malaya banyak menyiarkan kejayaan kerajaan dalam membangun Negara. Juga mewujudkan suasana harmoni di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa & agama.

Radio Malaya juga banyak memainkan peranannya dalam membentuk sahsiah diri untuk menyemarak dan memperkayakan pejuang, pelapis, pengamal seni tanah air, radio juga banyak menganjurkan pertandingan. Antaranya bintang radio yang telah melahirkan ramai bintang seni yang disegani hingga ke hari ini.

Peranan stesen radio negeri-negeri juga, banyak membantu kerajaan untuk mendengar dan menyelami permasalahan rakyat. Ini menjadikan RTM sebagai saluran yang berkesan untuk menjadi lidah rakyat & kerajaan. Menyedari masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum & etnik, RTM telah mewujudkan beberapa siaran radio yang mewakili kaum & etnik Malaysia. Keberkesanan stesen radio ini amat ketara & memberi satu impak besar kepada masyarakat. Ianya dapat kita lihat sehingga hari ini.

Merupakan stesen keempat yang dilancarkan di luar Kuching, RTM SRI AMAN telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak yang ke-empat, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 21 Oktober  1982.


Pembinaan stesen ini bermula dengan pembinaan stesen pemancar pada tahun 1979 di sebuah tapak yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman.Kemudian di ikuti dengan pembinaan Bangunan Penyiaran pada tahun 1981 dengan kos hampir 2.67 juta ringgit di atas sebidang tanah yang hanya satu kilometer dari pusat Bandar.


Bangunan penyiaran ini menempatkan ruang- ruang pejabat bagi bahagian rancangan, Kejuruteraan dan pentadbiran.


Bangunan ini turut mempunyai kemudahan seperti Studio, Bilik fasiliti berita, Bilik pusat kawalan, auditorium dan Bilik senggara dan Unit SiaranLuar. Dengan kekuatan lebih 30 orang kakitangan, RaSAFM menyiarkan siaran tempatan selama tiga jam sehari bermula pukul 6 petang sehingga 9 malam bagi perkhidmatan Melayu, sumbangan program bagi perkhidmatan Iban tiga kali seminggu selama tiga jam melalui siaran Waifm dan sumbangan bahan untuk perkhidmatan Cina sekali seminggu.

Sila klik pautan direktori untuk maklumat lanjut.